BOTANI LADA
Lada ( Piper nigrum L ) tergolong
dalam keluarga Piperacea mempunyai lebih kurang 10 genera. Genus Piper sahaja
mempunyai lebih dari 100 spesis. Kebanyakannya adalah jenis herba dari pokok
memanjat atau renek.
STRUKTUR
Lada adalah sejenis tanaman saka berkayu yang
memanjat, boleh mencapai hingga 10 m atau lebih. Dalam keadaan penanaman yang
sempurna serta ketinggian yang terkawal, pokok akan berbentuk turus rimbun 4 m
tinggi dan 1.5 m garis pusat.
a. Akar
Bila dibiakkan, akar tompang pada buku yang
tersentuh dengan tanah akan tumbuh dan membesar untuk membentuk sistem
pengakaran lada hitam. Bilangan akar rerambut yang akan menjadi akar utama
adalah bergantung kepada bilangan buku yang tertanam dalam tanah dan juga alam
sekitar pertumbuhan. Akar tumbuh di dalam tanah hingga 1m dalam, kumpulan akar
tohor berada di antara 30-60 sm di bawah permukaan tanah. Kajian
menunjukkan bahawa 90% daripada akar tohor berada di atas 40 sm bagi pokok
berumur 4 tahun. Perkembangan akar berubah bergantung kepada kepadatan tanaman.
b. Batang
Batang atau cabang yang memanjat boleh
dibahagikan kepada buku dan ruas. Buku adalah bahagian sendi yang sedikit
membengkak, darinya terbit daun, mata tunas ketiak akan membesar untuk
membentuk dahan berbuah. Panjang ruas adalah di antara 5-10sm.
Batang adalah orthotropik (menegak) , memanjat
dan memberikan rangka kepada pokok di mana garis pusat di antara 4-6sm di
bahagian dasar dan berkayu dengan kulit tebal semacam kepingan.
Dahan berbuah pula adalah sympodial (puncalah)
dan plagiotropik ( giliran kosong ) iaitu boleh bercabang pada batang dan
tumbuh serong dari batang lurus (membnetuk sudut). Ianya tidak menegluarkan
pucuk memanjat, oleh itu tidak digunakan untuk pembiakan.
Batang juga mempunyai stolon (tunas air atau
rayapan) yang merupakan pucuk orthotropik yang tidak produktif. Panjang ruas
ialah di antara 10-25 sm dan bukunya tidak nyata. Dalam tempoh tertentu, bila tidak
diganggu, stolon akan melentur, menjalar di tanah lalu membentuk akar.
c. Daun
Batang, dahan berbuah dan stolon mempunyai daun ringkas berselang, petiol 2 -5 sm panjang dan beralur di atasnya, stipul sisi menjadi hitam dan gugur awal, lai daun licin, hijau tua dan berkilat di permukaan, hijau pucat dan berbintik kelenjar di bahagian bawah , dengan tekstur yang berbulu.
Saiz daun adalah berbeza di antara kultivar, iaitu di antara 8-20 sm panjang dan 4-12 sm lebar. Biasanya terdapat 5-7 uratdaun utama. Bentuk lai daun ialah bujur telur, bahagian pangkal serong, cakah, bulat dan hujungnya runcing (tirus).
Gambar Rajah 1: Kaedah Penanaman Lada
d. Jambak Bunga
Jambak bunga terbit pada buku bertentangan dengan daun atas dahan berbunga atau dahan sisi, berukuran di antara 3-15 sm panjang, mempunyai 50-150 bunga yang ringkas dan halus tersusun dalam bentuk spiral yang tak nyata. Urutan pembentukan bunga ialah dari pangkal ke hujung, mengambil masa lebih kurang seminggu untuk semua bunga membuka sepenuhnya.
e. Bunga
Bunga adalah samada sejantina ( dalam bentuk monoecious atau diecious ) atau hermaphrodite. Lebih tinggi peratus bunga hermaphrodite maka makin tinggi hasil. Keamatan lindungan akan menggalakkan lebih bunga betina dan kurang bunga hermaphrodite.
f. Buah
Buah adalah jenis beri atau pepauh bulat tak bergagang. Saiz buah di antara 4-6 mm. Setiap buah mengandungi satu biji benih yang dibaluti mesokarp (lapisan tengah berpulpa). Bila masak, esokarp (lapisan luar) bertukar warna dari hijau kepada kuning dan akhirnya merah terang. Bila dijemur, buah masak bertukar menjadi hitam. Biji benih mempunyai 3-4 mm garis pusat. Perisperma kaya dengan kanji dan minyak. Buah lada matang lebih kurang 6-9 bulan selepas berbunga. Setiap mayang menghasilkan 50-60 buah.
No comments:
Post a Comment